Friday 7 August 2009

Jangan Nakal ~part 2~

Ringtone "Kau Aku" nyanyian Aizat tengah melalak di tepi telinga Amir yang sedang lena tidur menandakan ada panggilan yang masuk. Dalam keadaan mamai, Amir jawab juga panggilan tersebut walaupun dalam hati menyumpah berbakul-bakul.

"Hello. Assalamualaikum ... uwaaaagghhh" Amir sempat menguap menunjukkan yang dia baru terjaga dari mimpi. Mimpi apalah si Amir ni. Kahwin dengan putera katak gamaknya.

"Hoi Amir! Awak dekat mana tu? Awak tahu tak sekarang ni dah pukul berapa? Kenapa tak masuk kerja lagi?" macam peluru berpandu orang di talian sebelah sana menyoal Amir.Sudahlah salam Amir tak berjawab, main hoi pulak. Siapalah yang kurang sopan ni?

Terbuntang biji mata Amir mendengar suara sumbang yang menyakitkan cuping telinganya semenjak dua menjak ini yang berada di talian. Amir memang cukup benci dengan suara tu.Suara hamba Allah yang amir rasakan datang dari planet yang sama dengan Mr. Bean walaupun hakikatnya, Amir tahu dia juga anak manusia.

"En. Faezal nak apa ni kacau saya tidur di pagi Isnin yang indah dan cerah ni?" Amir sengaja reka ayat yang menyakitkan hati.

"Nak apa awak tanya? Dah pukul 9.00 pagi dah ni. Kenapa awak tak masuk office lagi? Saya ada banyak perkara yang nak dibincangkan dengan awak ni. Urgent!" Faezal sembur Amir lagi. Faezal bin Ismit, ketua Amir di kilang, tempat Amir makan gaji.

"En. Faezal ternak semut ke dekat rumah tu? Kan saya cuti hari ni. Saya cuti seminggu En. Faezal. Seminggu," Amir tekankan perkataan seminggu tu. Biar anak pakcik Ismit ni faham sikit. Pakcik Ismit? Ismit ulam raja ke Ismit ulam pegaga? Ops...mintak maaf pakcik, tak sengaja.

Faezal buat muka terkejut macam nampak arnab lumba lari dengan kura-kura. Puas Faezal berfikir waktu bila dia membenarkan Amir mengambil cuti panjang sehingga seminggu. Banyak sangat ke semut yang Faezal tertelan baru-baru ini?

"Bila saya approve cuti awak?"

"Big boss yang approve En. Faezal. Dah la En. Faezal. Jangan kacau saya seminggu ni. Jangan ganggu kebahagiaan saya. Saya baru je nak rasa macam terbang di awang-awangan tak dengar suara En. Faezal tahu tak? Okay..bye" Amir terus tekan butang end call.

Faezal di hujung talian sebelah sana tercengang-cengang dan semakin tak faham. "Big boss approve cuti budak ni? Kenapa dia pergi minta cuti kat big boss?"

Tiba-tiba Faezal teringat sesuatu. Jumaat lepas, waktu Faezal di dalam plant, dia dapat panggilan dari big boss. Keadaan yang agak bising dengan bunyi-bunyi mesin menyebabkan Faezal cuma berkata 'Yes' dan 'Ok' sahaja. Dia cuma mendengar big boss ada menyebut Amir dan cuti. Perkataan seminggu tak pula dapat ditangkap dek gegendang telinga Faezal.

"Amir ni memang suka menyusahkan aku," Faezal geram sendiri.

Di kampung halaman Amir yang indah dan permai itu pula, makcik Jamaliah sedang sibuk menyediakan sarapan untuk mereka bertiga.

"Mak masak lempeng ke mak? Sedapnya. Sambal tumis ada mak?" Amir terus buka tudung saji mencari sambal tumis ikan bilis. Seperti yang telah dijangkanya, sambal tumis kegemarannya telah siap terhidang.

"Amir! Bangun tak berus gigi, tak cuci muka, awak dah nak menghadap makanan. Anak dara apa awak ni? Anak siapalah ni?" makcik Jamaliah dah bercekak pinggang sambil tangan yang sebelah lagi menghayunkan sudip lempeng seakan-akan nak mengetuk kepala Amir.

"Anak mak dengan abah la. Takkan Amir ni anak buloh betong pulak. Ke mak dengan abah kutip Amir dekat tepi jalan? Mak jumpa Amir dalam kotak ye mak? Patutlah Amir ni tak sama dengan kaklong dan yang lain-lain," Amir buat ayat syahdu di pagi-pagi hari, kalah kesyahduan di pagi aidilfitri.

Pakcik Hassan yang baru pulang dari pekan pula menyampuk,"Memang abah jumpa kamu dalam kotak dekat bawah pokok pisang sebelah rumah Lebai Mat tu. Kalau abah tahu perangai kamu bila dah besar macam ni...abah biar je kamu dekat bawah pokok tu." Amir terdiam. Amir anak terbuang?

Sunyi seketika keadaan di dapur itu, yang kedengaran kini cumalah esakan kecil dari hujung meja makan. Amir dah mula menangis,"Sampai hati abah cakap Amir anak dalam kotak. Macamlah Amir tak tahu mak bersalinkan Amir dalam ambulan masa nak pergi hospital. Masa mak mengandungkan Amir, mak mengidam nak makan angsa kesayangan atok."

Pakcik Hassan dan makcik Jamaliah tergelak mendengar hujah-hujah pembelaan diri Amir."Awak yang mula sebut anak dalam kotak, abah awak layankan ajalah..kan bang?" makcik Jamaliah kenyit mata dengan pakcik Hassan. Mesra betul mak dan abah Amir ni.

Amir sengih nampak gigi. Cuak juga kalau memang betul dia anak dalam kotak. Tapi Amir memang yakin dia anak mak dan abah. Dia cantik macam mak dan dia juga bijak berkata-kata macam abah. Amir memang anak mak dan abah. Amir juga anak manja mak dan abah. Sebab itulah Amir mudah menangis bila di usik mak dan abah.

"Amir, petang nanti awak ikut mak ke rumah makcik Timah. Kak Suhana awak nak kahwin hujung minggu ni. Kita ni jiran sekampung kenalah selalu jenguk-jenguk, tolong mana yang patut. Kebetulan awak balik cuti ni, senanglah mak nak ke sana," makcik Jamaliah memberi arahan.

"Yelah mak, nanti kita pergi ya," Amir bersetuju dengan mulut penuh yang disumbat lempeng. Tanpa menggosok gigi dan mencuci muka, Amir menikmati lempeng hasil tangan ibunya. Memang tak ada siapa nak buat jadi menantulah si Amir ni.

Tiba-tiba,"Mak..kita nak pergi rumah siapa mak? Makcik Timah yang mana mak?"

"Ramai sangat ke makcik Timah dalam kampung ni yang ada anak nama Suhana, Amir?" soalan Amir dijawab pertanyaan oleh pakcik Hassan.

"Alamak..habislah aku," Amir rasa nak tercekik.

2 comments:

  1. hahah ismit ulam raja...
    aku asyik duk terbayang rupe laki je bila baca nama amir tu..cmne nk byg prmpn ni..hahah

    ReplyDelete