Monday 10 August 2009

Jangan Nakal ~part 3~

Amir cuma mengenakan t-shirt lengan pendek longgar berwarna hitam dan jeans kelabu. Rambutnya dibiarkan lepas. Nasib baik Amir masih berpenampilan seorang perempuan. Cuma apabila Amir mula buka mulut, dari butir percakapan serta perlakuannya memang boleh diagak, Amir bukan gadis lemah lembut. Amir kasar dan butir bicaranya lepas bebas tak terbatas.

"Amir, dah siap ke belum?"

"Dah mak. Jomlah kita pergi," Amir mencapai kunci Neo hitamnya.

Makcik Jamaliah pandang Amir dari atas ke bawah, bawah ke atas.

"Mak pandang Amir macam tu kenapa? Amir pakai baju terbalik ke? Haaaaaaa...mak jangan nak suruh Amir pergi tukar pakai baju kurung pulak. Kita nak pergi tolong je kan? Belum hari kenduri lagi kan?" Amir buat muka risau, takut makcik Jamaliah turunkan titah perintah yang Amir perlu pakai baju kurung.

"Tak. Rambut awak dah panjang. Mak ingat mak tak dapat nak tengok awak tu berambut panjang," makcik Jamaliah senyum. Lega melihat penampilan terbaru Amir. Rambutnya kini telah melepasi bahu. Ukuran paling panjang semenjak 25 tahun Amir hidup atas muka bumi ini.

"Mak nak Amir potong rambut pendek ke? Petang ni jugak Amir pergi kerat rambut ni," Amir menyampaikan hajatnya, namun semuanya cuma di mulut. Di hati, Amir mula sayangkan rambutnya itu. Entah mengapa setahun dua ini, penampilannya mula berubah sedikit demi sedikit. Semakin feminin dan Amir semakin selesa dengan dirinya yang agak baru.

"Jangan awak nak mengada-ngada. Dah, cepat kita bergerak."

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _


Neo hitam Amir sudah memasuki halaman rumah makcik Timah. Kereta Suhana, bakal pengantin baru juga ada berparkir di halaman rumah tersebut.

"Mak, kenapa lapang je laman rumah cik Timah ni mak? Mana bangsalnya?" Amir tanya makcik Jamaliah.

"Hari ni kan baru hari Isnin. Awal sangat nak pasang bangsal. Lagipun makcik Timah pasang bangsal untuk orang memasak je. Tempat tetamu pakai canopy la. Tak main la bangsal-bangsal Amir. Hahahahaha," makcik Jamaliah terus menuju ke pintu bahagian dapur rumah jirannya itu, meninggalkan Amir yang tegak di sebelah kereta kesayangannya.

Amir bercakap kepada dirinya, "Bangsal dengan canopy tu lain ke? Zaman dah berubah, dunia makin maju. Orang kampung pun dah tak pakai bangsal la Amir. Semua guna canopy yang ada langsir-langsir cantik tu. Mak! Tunggulah Amir mak!"

"Jamaliah..masuklah. Eh, Amir pun ada. Kamu cuti ke Amir?" makcik Timah bersalaman dengan mereka berdua.

"Cuti kak Timah, sampai hujung minggu ni. Senanglah saya nak kemari tiap-tiap hari," makcik Jamaliah tolong jawabkan bagi pihak Amir.

"Apa yang nak dibuat ni kak Timah?" tanya makcik Jamaliah sambil bersalaman dengan makcik-makcik lain yang sekampung dengan mereka. Adat di kampung mereka, sekiranya ada kenduri-kendara terutamanya kenduri kahwin, kaum-kaum ibu akan sibuk membantu persiapan tuan rumah.

"Hari ni kita buat bunga telur. Si Suhana tu ada dibelinya bunga telur yang dah siap, tapi akak nak tambah sikit. Boleh jugaklah diberikan pada saudara mara dan jiran-jiran. Bunga telur yang Suhana beli tu bolehlah diberikannya pada kawan-kawan dia."

Amir buat muka resah gelisah. Nak kena tolong buat bunga telur. Ini memang kerja wanita sejati ni.

"Cik Timah, Amir tolong cik Timah gantung langsirlah ya?" Amir sengih kambing di sebelah ibunya.

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Pejam celik sudah hampir seminggu Amir berada di rumah ibu bapanya semenjak peristiwa Amir pengsan di muka pintu. Bermakna malam esok Suhana akan dinikahkan dengan pasangannya. Majlis persandingan pula akan diadakan pada sebelah siang keesokan harinya.

Selama empat hari jugalah Amir dan makcik Jamaliah ke rumah makcik Timah untuk membantu. Amir juga rajin membantu, tetapi bukannya di dapur. Amir lebih berminat membantu makcik Timah membaiki lampu dari menyiapkan hantaran dan mengupas bawang.

"Mak, Amir lebih rela belah kayu dari kupas bawang. Biarlah bahu Amir ni sakit hayun kapak dari mata Amir ni pedih" Amir memang alah dengan bawang. Baru sebiji bawang dikupas, Amir dah meraung macam kena dera dengan makcik Jamaliah.

"Orang dah tak pakai kayu dah sekarang ni, bolehlah awak cakap macam tu."

Tiba-tiba, Suhana dengan wajah yang cemas meluru masuk ke bahagian dapur. Amir dan anak-anak gadis lain yang lain sedang sibuk melipat kotak untuk diisikan dengan gula-gula, terperanjat dengan tingkah laku Suhana.

"Amir! Amir kena tolong kak Ana," Suhana dah memegang tangan Amir dengan muka penuh mengharap.

Amir pelik. Pelik dan terperanjat sebenarnya. Kenapa pula dengan Suhana? Tunangnya sms tak jadi nak kahwin ke? Semua yang ada di dapur turut terpaku melihat Suhana dan Amir buat drama swasta.

"Kak Ana kenapa ni? Nak Amir tolong apa?"

Ternganga mulut Amir mendengar permintaan Suhana. Kalau ada lalat, muatlah beberapa ekor terbang dalam mulut si Amir tu.

"Bolehlah Amir. Boleh ya? Tolonglah kak Ana Amir," Suhana merayu-rayu di sebelah Amir.

"Tapi kak Ana, Amir..." Amir belum sempat habiskan ayat penyata, Suhana dah memotong percakapannya.

"Boleh ya? Kak Ana anggap Amir setuju. Terima kasih Amir. Kak Ana sayang Amir...mmuuuaahh" satu ciuman Suhana hadiahkan kat pipi Amir. Amir terdiam tak mampu nak kata apa-apa. Biar betul Suhana ni?

3 comments:

  1. apsal dgn suhana tu??aiyoo..xtau
    amir kena kawin dgn tunang suhana..hahaha

    ReplyDelete
  2. amir kena tlg kak ana pe???
    cpt la smbg ek..

    ReplyDelete
  3. Mesti amir kena jd pengapit Suhana ni...

    ReplyDelete