Tuesday 18 August 2009

Jangan Nakal ~part 7~

"Shah, aku takutlah nak jumpa dengan singa tu," Amir tak lalu makan. Dikuis-kuis pinggan nasinya.

"Tak ada apa-apalah. Yang kau takut sangat ni kenapa? Berani kerana benar, takut kerana salah," Shah tak pedulikan Amir dan dia terus menjamu selera dengan berselera sekali.

"Aku rasa dia nak jumpa kau pasal kerjalah. Faezal tu profesional. Takkan dia nak campur urusan hati perasaan dengan kau pulak time-time kerja ni," Shah sengih sekilas pada Amir.

Amir pandang muka Shah, "Apa hal pulak hati perasaan ni? Aku sumbat udang ni dalam mulut kau nanti baru tau. Mulut tak ada insurans." Udang yg berada di garpunya dah disuakan ke muka Shah.

Shah terus ngangakan mulutnya luas-luas.

"Ni kenapa pulak yang kau ternganga-nganga macam mulut buaya lapar ni?" Amir pelik.

"Kan kau kata nak sumbat udang tu dalam mulut ak ni. Cepatlah aku tunggu ni," Shah terus ngangakan mulutnya.

"Nah," Amir betul-betul sumbat udang dalam mulut Shah.

"Hai kamu berdua ni romantik sungguh. Shah, baik kamu cepat-cepat pergi masuk meminang si Amir ni. Nanti hari-hari dia boleh suapkan kamu makan," Wak Ajmir duduk depan mereka sambil tersenyum-senyum.

"Itu bukan suaplah Wak. Itu namanya Amir sumbat mulut Shah yang tak reti nak diam ni."

Shah cuma tersenyum mendengar usikan Wak Ajmir. Dia sudah terbiasa diusik-usik begitu apabila bersama dengan Amir.

"Kamu berdua ni kalau Wak tanya, mesti kamu jawab sahabat baik." Wak Ajmir mulakan suapan pertama.

"Dah tu...takkan teman tapi mesra pulak Wak. Itu lain dah maksudnya tu Wak," Amir dah tersengih-sengih konon-konon comel.

"Tapi Wak rasa, kamu berdua ni kalau jadi suami isteri lagi sesuai. Mesti lagi mesra dari teman tapi mesra," Wak smash balik jawapan Amir.

"Tak bolehlah Wak. Nanti kalau kahwin saya bosan pulak asyik pandang muka dia je hari-hari." Shah juihkan bibir dekat Amir.

"Pagi sebelum pergi kerja saya kena tengok muka dia. Dekat tempat kerja muka dia jugak. Nanti dah balik rumah pun asyik pandang muka dia jugak. Tak berkembang pandangan mata saya ni nanti Wak," Shah bulatkan biji matanya sambil tergelak-gelak suka. Memang mata menggatal je nak pandang perempuan lain.

Amir jeling Shah di sebelah sambil buat muka merajuk dengan yang tersayang, " Yelah, aku ni tak cantik macam Cik Pah kilang sebelah tu kan? Sebab tu kau tak sanggup nak pandang muka aku ni."

"Tau takpe. Kalau Cik Pah tu memang aku tak tidur malamlah. Asyik terbayang muka dia yang cun tu je, teringatkan gaya percakapan dia yang lemah-lembut dan sopan tu, keayuan gadis Melayu la senang nak cakap."

Amir buat muka menyampah. Cik Pah atau nama panjangnya Sharifah Azura Syed Nasir, setiausaha salah seorang bos besar di kilang sebelah. Kebiasaannya, mereka akan terserempak dengan Cik Pah ketika waktu makan tengahari samada di gerai-gerai atau di restoran-restoran yang berdekatan.

Memang tak dapat dinafikan, Cik Pah menjadi kegilaan ramai jejaka-jejaka kilang mereka. Cik Pah bijak bergaya. Nampah manis sahaja. Kalau nak dibandingkan dengan Amir, macam langit dengan bumi, macam kutub utara dengan kutub selatan.

Shah pernah bertanya kepada Amir mengapa dia tidak tahu bergaya dan bersolek seperti Cik Pah. Jawapan Amir, "Sebab aku ni Amir. Dia tu Cik Pah. Aku engineer. Dia secretary. Masa aku dekat U dulu, aku tak ada amek subjek grooming, bergaya, bersolek. Ada faham? Lagipun...nak mampus kena maki dengan safety officer kau tu. Hilang akal apa pakai kebaya ganti uniform yang cantik ni."

"Kalau sudah jodoh, apa yang kamu nak kata pula?" Wak Ajmir tiba-tiba menyampuk Amir dan Shah yang tengah gaduh-gaduh manja.

"Jodoh siapa Wak? Jodoh Shah dengan Cik Pah ke? Kalau Shah dapat kahwin dengan Cik Pah, memang Amir sponsor bunga telur 3 ribu batang."

"Apa pulak Shah dengan Cik Pah. Shah dengan kamulah."

"Kalau dah jodoh, apa lagi nak dikata Wak. Katakanlah, dengarkanlah..." Amir dah nyanyi lagu Katakanlah yang dinyanyikan oleh Hazami.

"Tapi Wak, buat masa ni..Amir cuma sayang Shah macam Amir sayang kakak-kakak Amir je. Hehehehehe," Amir tergelak-gelak.

"Apsal kakak pulak? Aku ni macam pondan apa?" Shah yang diam sahaja membiarkan Amir menjawab semua persoalan Wak Ajmir tiba-tiba bersuara.

"Aku mana ada abang. Maknanya kau ni sama taraf dengan kakak-kakak akulah." Amir sengih pada Shah.

"Wak, kami gerak dululah ya. Ada orang nak pergi menghadap bos dia. Saya nak kena tolong dia prepare alasan ni. Assalamualaikum," Shah dah mula bangun dari kerusinya.

"Wak doakan Amir selamat ya Wak. Tata Wak," Amir lambai-lambai pada Wak Ajmir. Amir, walaupun agak kasar, tetapi sikap keanak-anakan dan manja itu memang tak dapat dibuang. Anak bongsu punya penangan. Wak pula sudah dianggap seperti ayahnya sendiri. Amir perempuan kasar tetapi comel dan manja. Itulah yang sering dikatakan oleh kebanyakan pekerja-pekerja lelaki di sini.

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Amir bersandar di mejanya sambil pandang kak Salamiah. "Kak, En. Faezal tadi dia tak keluar lunch ke?"

"Tak, dari tadi akak tengok dia busy je. Akak ada jugak tanya dia ada nak pesan apa-apa ke masa akak nak keluar lunch tadi," kak Salamiah jawab soalan Amir sambil matanya terus terfokus pada emel yang sedang dibacanya.

"Habis tu.....dia pesan apa kak?"

"Tak ada pesan apa-apa. Puasa kut si Faezal tu."

Amir semakin risau. Kalau sampai ketuanya itu sanggup skip lunch, bermakna dia memang teramat sibuk.

"Takkan sebab aku cuti dia jadi busy sangat kut? Ya Allah selamatkanlah hamba-Mu yang kerdil ini," Amir tadah tangan berdoa.

"Kak, doakan Amir selamat ya," Amir tak habis-habis meminta orang lain mendoakan keselamatannya ketika bertemu dengan Faezal nanti.

Tukk...tukk..pintu bilik Faezal diketuk. Amir dah terjengul di muka pintu bilik ketuanya yang sememangnya tak bertutup.

"Boleh saya masuk sekarang ke En. Faezal? Kalau En. Faezal busy, tak apalah. Lain kali saya jumpa En. Faezal," Amir cuba mengelat dari berjumpa ketuanya.

"Saya yang suruh awak jumpa saya kan? Awak duduk dulu. Bagi saya lima minit. Saya nak siapkan report ni. Tutup pintu tu sekali," Faezal beri arahan tanpa alihkan pandangannya dari skrin komputer.

Amir patuh tanpa banyak alasan lagi. Lima minit dalam bilik ketuanya itu dirasakan seperti 50 minit dalam bilik sauna. Walaupun penghawa dingin elok terpasang, Amir rasa dirinya berpeluh-peluh. Kedua-duanya diam tak bercakap. Amir mula rasa lemas dengan keadaan itu. Jantung pula berdegup macam baru lepas kena denda berlari 5 pusingan padang sekolah.

"Orang kalau buat salah memang selalu menggelabah. Engkaulah tu Amir." Amir beritahu hatinya.

Faezal pusingkan badannya. Betul-betul menghadap Amir. "Ok, sekarang kita discuss. Awak ada masalah ke Amir?"

"Hah? Masalah apa pulak ni En. Faezal," dahi Amir dah berkerut-kerut cuba memahami soalan ketuanya.

"Awak ada masalah apa yang sampai awak hantar surat resign dekat big boss?" Faezal sound direct to the point. Tak main simpang mana-mana. Tak ada kias-kias lagi.

Amir terkejut. Bagaimana Faezal tahu yang dia dengan beraninya mengutuskan surat 'chenta' kepada big boss mereka.

"Big boss beritahu saya, salah seorang dari engineer saya hantar surat resign dengan alasan....ada masalah peribadi. Saya tahu awaklah orang yang dimaksudkan tu Amir, sebab awak tiba-tiba cuti panjang. Big boss pulak yang approve cuti awak tu." Faezal dah tenung Amir.

"Apa masalah peribadi awak tu Amir? Kenapa awak tak berbincang dengan saya dulu? Ini awak main redah je pergi jumpa orang atas. Macam saya ni tak ambil peduli langsung masalah anak-anak buah saya," Faezal mula mengeluh.

"Kenapa diam pulak? Selalu mulut awak ni bukan main lagi bisingnya mengalahkan amoi jual ikan kat pasar," Faezal cuba buat lawak yang langsung tak menjadi.

"Cuba awak beritahu saya apa masalah awak sebenarnya."

Amir rasa suhu badannya meningkat tiba-tiba. Dalam hati Amir dah sumpah seranah Faezal.

"Kau cakap mulut aku macam mulut amoi jual ikan ya. Ni yang panas ni. Panas menggelegak ni."

"Kau tu yang bercakap tak berhenti. Soal aku mengalahkan sarjan pencen. Celah mananya aku nak menyampuk. Sabar Amir. Sabar." Amir tenangkan hatinya.

Amir tarik nafas dalam-dalam sebelum mulakan hujah-hujahnya.

"Problem saya ialah En. Faezal."

No comments:

Post a Comment