Tuesday 1 December 2009

Jangan Nakal ~part 10~

Sebulan sudah peristiwa Amir buat sesi luahan perasaaan pada Faezal. Nampak ada perubahan sedikit dalam hubungan bos-pekerja antara Faezal-Amir. Dah nampak Amir boleh gelak-gelak bercerita dengan Faezal. Amir, Shah dan Faezal juga dah selalu keluar ‘lunch’ bertiga.

“Shah…,” Amir panggil Shah dengan mendayu-dayu terlebih harkat.

“Kau kalau buat suara ala-ala manja terlebih hormon perempuan ni mesti ada apa-apa,” Shah kalih pandang pada Amir yang dah buat muka comel.

“Nak makan luar hari ni, bosan la hari-hari makan kari dekat kantin tu. Balik-balik kari, kari, kari. Kari udang, kari daging, kari ayam, kari telur. Apa akak tukang masak tu tak reti ke nak masak benda lain?” Amir dah merungut dengan resipi wajib di kantin mereka. Semua masakannya berasaskan rempah kari.

“Jom kita makan dekat luar. Warisan Mama nak?” Faezal yang entah muncul dari mana tiba-tiba buat usul yang agak menarik di gegendang telinga Amir.

Amir dah angguk-angguk tak berhenti sambil tersenyum-senyum. Amir pandang Shah pula, “Shah? Ok tak? Jomlah.”

“Aku bawak motor hari ni. Kau bawak motor ke kereta Faezal?” Shah dah bangun dari duduknya tanda setuju.

“Aku bawak motor. Mana pernah aku bawak kereta kalau bukan sebab hujan. Itu pun aku rela pakai baju hujan dari kena tempuh jem dekat KL ni.”

“Mira, kau naik motor dengan Faezal. Aku tak nak lah bawak kau.Nanti pancit tayar motor aku. Kau tu kan dah makin berat sekarang ni,” Shah buat muka selamba gelak-gelakkan Amir.

Amir buat muka gajah dah tak sabar nak pijak mangsa amukannya. Kecik je Shah di matanya kini.

Naik motor dengan Faezal? Apa wayar yang berselirat dalam kepala otak si Shah dah nak putus ke? Dengan Shah pun Amir tak pernah bonceng duduk belakang. Inikan pulak dengan Faezal.

“Tak ingin aku naik motor dengan En. Faezal ni. Kita pergi asing-asing.”Amir dah berlalu menuju pintu keluar.

“Hoi Mira! Bagilah kami tumpang kereta kecik kau tu,” Shah dan Faezal sama-sama kejar Amir dari belakang.

“Korang yang nak sangat pergi naik motor buruk korang tu kan? Aku tak mahu angkut korang.
“Korang kan berat-berat macam bapak gajah. Pecah tayar Neo aku yang kecik tu nanti,” Amir jelir lidah pada mamat berdua tu.

Mentang-mentang sorang pakai Civic, yang seorang lagi pakai Vios, kutuk-kutuk kereta comel tu pulak. Amir bengang. Tiba-tiba Amir teringatkan kereta buruk di bawah pohon rambutan dekat rumah makcik Timah.

“Itu lagi sekor manusia tak guna. Baru pakai Lancer dah nak berlagak dengan aku. Aku calar-calarkan kereta kau nanti baru kau tahu siapa Amira Sofea binti Hassan!” Amir geram dalam hati.

- - - -

“Mana nak duduk ni Shah? Penuh je…” Amir buat muka kecewa.

Shah dan Faezal turut sama tertinjau-tinjau. Faezal Nampak sebuah meja yang baru mula kosong. Laju-laju dia menuju ke meja tersebut.

“Nasib baik mata En. Faezal ni cepat je nampak. Kalau tak..mau je aku duduk makan kat tepi longkang macam zaman sekolah-sekolah dulu,” Amir dah tersenyum-senyum gembira sangat dapat tempat duduk.

Mereka bertiga sedang menunggu pekerja kedai tersebut mengangkat pinggan-pinggan yang masih ada di atas meja.

“Apa dah tak cukup kerusi meja dekat kantin? Longkang jugak yang kau suka. Kau ni memang spesies pompuan alien la,” Shah kutuk Amir.

“Yelah, aku bukan macam korang berdua. Makan dalam dewan makan,” Amir perli mamat-mamat yang asalnya dari sekolah berasrama penuh.

“Aku pergi ambil lauk dululah ya? En. Faezal dengan kau tunggu sini. Jaga meja!” Amir dah bangun menuju tempat lauk yang bermacam-macam jenis.

Amir dah siap memilih lauk-lauk makan tengah harinya hari ini. Ikan keli masak sambal cili padi, tempe yang digoreng dengan ikan bilis dan kentang, kuah masak lemak cili api, daging goreng kunyit, beberapa hirisan timun serta sedikit sambal belacan.

Amir siap membayar harga nasi campurnya. Walaupun agak mahal tetapi dia puas hati. Sekurang-kurangnya hari ini, tekaknya bebas dari rempah kari.

Amir menuju ke meja di mana Shah dan Faezal sedang menunggunya mengambil giliran menjaga meja. Matanya terpaku tiba-tiba.

“Siapa pulak yang duduk sekali dengan mamat berdua tu?” Amir cuba mengecam lelaki yang duduk di sebelah Shah.

Langkahnya yang laju tiba-tiba rasa hendak terhenti. Kenapa semua ini harus berlaku kepadanya?

“Ni yang aku malas sebut-sebut pasal mangkuk tingkat sekor ni. Dan-dan je dia muncul depan mata aku hari ni,” Amir tak puas hati. Diteruskan juga langkahnya ke meja tersebut.

Amir terus tarik kerusi di sebelah Faezal. Kini Amir duduk berhadapan dengan lelaki yang menumpang meja makan mereka. Muncung Donald Duck kegemarannya dah muncul.

“Ijan…ni member satu kilang aku jugak. Mira nama dia,” Shah perkenalkan Amir kepada kawannya, Ijan.

“Amir, apa Mira-Mira? Ingat aku Mira Edora ke?” Amir betulkan nama dia.

“Alahai sayang, sorrylah..aku kan dah terbiasa panggil kau Mira,” Shah tersengih-sengih.

“Ijan ni junior aku masa dekat asrama. Sekarang ni dia dah jadi orang minyak dah,” Shah dan Faezal gelak-gelak.

“Hai, saya Ijan,” Ijan hulurkan tangan untuk bersalam.

Amir pandang muka Ijan tak berkelip. Buat lakonan apa pulak si Ijan ni?

“Kau nak berlakon ya? Ok…aku tolong jayakan lakonan kau tu,” Amir cakap dalam hati.

“Amira Sofea binti Hassan. Panggil aku Amir,” Amir balas huluran salam Ijan.

Suasa sepi seketika. Amir memang dah buat muka tak ada mood nak bercakap. Shah pelik jugak sebab setahunya Amir ni boleh tahan jugak kepohnya bila berjumpa orang. Takkan malu-malu dengan Ijan ni kut.

“Shah…Faezal…aku gerak dululah ya. Aku ada hal sebenarnya ni. Kebetulan nampak kau tadi tu yang aku tegur kejap.” Ijan dah mula bersalaman dengan Shah diikuti Faezal.
Macam tahu-tahu je yang dalam hati Amir tu memang nak sangat dia blah cepat-cepat.

Kini giliran Amir pulak untuk sambut huluran salam Ijan. Amir malas nak tengok muka Ijan lama-lama. Nak tak nak dia salam juga Ijan sekali lagi.

“Saya balik dulu ya Cik Amira Sofea binti Hassan, jumpa lagi,” Ijan pegang tangan Amir lama gaya tak mahu lepas. Amir dah bulatkan mata dan buat muka nak bergaduh. Ijan akhirnya lepaskan tangan Amir sambil kenyit mata dan selepas itu dia terus berlalu.

Amir dapat melihat Ijan memasuki perut Lancer putih yang elok berkilat dengan ekor matanya.

“Gaya Ijan tu macam minat dekat awak je Amir,” Faezal usik Amir.

“Ni nak makan ke tak nak ni? Dah pukul berapa ni? Lambat… korang balik kilang jalan kaki,” Amir dah nak bertukar jadi mak tiri dalam cerita Bawang Merah Bawang Putih.

“Usik sikit dah nak emo. Malulah tu….Hahahahaha,” Shah gelakkan Amir yang mukanya dah mula jadi merah. Nasib baik bukan hijau. Kalau tak memag sah Amir boleh bertukar jadi Hulk.

“Jom cepat Shah. Aku tak nak jalan kaki dah kenyang-kenyang nanti. Kalau ada Cik Pah and the gang boleh jugak orang-orang hensem macam kita ni tumpang,” Faezal dah mula bangun diikuti Shah.

“Tak habis-habis cik Pah. Pompuan lemah gemalai tu jugak yang korang suka” Amir dah mengherot-herotkan bibirnya macam makcik-makcik membebel marahkan anak tak pergi sekolah tapi sebenarnya berkubang dalam lombong.

** Sorry yg amat sangat klu de typing error ke..ayat tunggang teerbalik ke..kesibukan yg amat sgt melanda dr...hopefully entry ni ok yer**