Tuesday 29 September 2009

Jangan Nakal ~part 9~

Amir tarik nafas lega kerana berjaya meluahkan segala apa berbuku dan bergumpal dalam hatinya. Faezal kini direnungnya.

Terdengar Faezal mengeluh.

“Saya minta maaf pada awak Amir. Saya memang tak sepatutnya marah dan tuduh awak yang bukan-bukan. Saya akui saya yang bersalah dalam hal ni,” Faezal sangat-sangat menyesal.

“Setelah En. Faezal calarkan maruah reputasi saya dan setelah berminggu-minggu baru En. Faezal nak menuturkan kata maaf?” Amir perli Faezal. Gaya skrip drama swasta babak bergaduh dengan teman lelaki.

“Saya akui ego saya lebih tinggi dari akal yang waras waktu itu. Tapi saya memang tak bermaksud nak menyakitkan hati awak Amir. Saya juga tak mahu kita bekerja dalam suasana yang macam ni.”

“Bagaimana kita nak bekerjasama kalau awak dan saya bermasam muka. Kalau anak-anak buah kita tahu ketua mereka tak sependapat, apa pula pandangan mereka terhadap kita nanti,” Faezal cuba untuk berdamai dengan anak buahnya yang seorang ini.

“Syarikat ini memerlukan orang seperti awak Amir. Bukan senang seorang perempuan untuk berada di kedudukan seperti awak sekarang ini, lebih-lebih lagi anak-anak buah awak kesemuanya lelaki. Saya tahu awak seorang yang kental dan tak mudah melatah dalam hal-hal remeh-temeh macam ni.”

“Maafkan saya sekali lagi dan saya berjanji saya akan berusaha menjadi ketua yang lebih memahami seperti yang awak inginkan. Kita juga akan bekerja dalam keadaan yang lebih relax walaupun awak tahu kan yang kita memang selalunya stress?” Faezal cuba berdiplomasi. Sekeras-keras hati Amir, jika kena cara dan gayanya pasti akan lembut juga.

Dalam hati Faezal tertanya-tanya juga. Faezal dikatakan tidak tahu bermesra dengan orang bawahannya. Seingat Faezal, dia baik sahaja dengan anak-anak buahnya. Dengan kak Miah, Shah, Farid, Ikmal, Tan dan yang lain-lain, Faezal rasa mereka mesra sahaja. Boleh berbicara macam-macam perkara. Boleh berkongsi macam-macam cerita.

“Apa yang budak ni cakap aku tak mesra? Tak mesra dengan dia ke?” Faezal bercakap dalam hati.

“Kalau dengan dia aku nak bermesra macam mana kalau dah dia dengan Shah memanjang. Takkan aku nak terhegeh-hegeh ikut dia pulak. Macam pelik je gayanya.”

“Budak berdua tu memanglah kena kerja bersama-sama sentiasa. Dah nama pun satu line. Tapi kalau aku asyik ikut je si Amir ni…mau jealous engineer2 aku yang lain” Faezal rasa nak tergelak tetapi ditahannya. Bimbang apa pula yang Amir fikirkan. Gila agaknya bos gelak sorang-sorang.

“Kalau dah dengan pekerja-pekerja warga Nepal tu, takkan aku nak beramah mesra macam YB turun lawat kawasan pulak. Dah sah-sah budak-budak tu tak faham sangat apa yang aku cakap. Itu yang senyum berbalas angguk tu.”

“Amir ni betullah macam-macam hal. Pelik aku macam mana si Shah boleh tahan dengan dia. Jangan-jangan budak berdua ni memang ada apa-apa kut. Haish…yang aku sibuk ni kenapa?” Faezal seolah-olah mengelamun sebelum Amir bersuara semula.

Amir tarik nafas panjang. Malas mahu memikirkan apa yang telah terjadi. Bukankah memberi kemaafan itu sesuatu yang mulia. Semua manusia melakukan kesilapan. Marah pula kalau dibiarkan akan menjadi racun dalam diri. Marah itu kan kesukaan syaitan.

Lagipun, bukan sebesar mana kesalahan Faezal. Cuma disebabkan emosi yang bercelaru serta hormon dalam badan yang kurang stabil, Amir cepat benar terasa hati dengan perbuatan Faezal hari itu. Bukannya dia tidak pernah dimarahi. Malah lebih teruk dari itu juga Amir sudah rasa tetapi entah mengapa hari itu cepat benar Amir tersentap.

“Baiklah En. Faezal.” Akhirnya Amir mengalah.

“Saya pun sayangkan kerjaya saya dekat sini.”

“Cuma…. ,” Amir buat ayat tergantung.

“Cuma apa?” Faezal dah kebingungan.

“En. Faezal tu kalau nak fire-fire saya pun, tengok-tengoklah tempat sikit. Ini main sembur-sembur je macam naga. Terbakar hati saya En. Faezal.”

“Nasib baiklah saya ni gagah perkasa bak kata Shah. Kalau tak…mahu menitik gak air mata ni setitis dua. Ingat air mata saya ni murah ke? Mahal tau,” Amir dah buat muncung Donald Duck semula.

Faezal tersenyum. Comel jugak budak Amir ni.

“Tapi awak dah balas dendam kan?” Faezal menduga Amir.

“Kesian saya kena tidur dekat parking tu sementara nak tunggu orang ambil.”

“Dah lah penat, belum makan waktu tu, tengok-tengok tayar dah pancit. Ada member pun tikam member.” Faezal buat muka sedih.

“Ops…” Amir tutup mulut dengan kedua-dua tangannya tanda terkejut.

“Sorry boss….hormon tengah tak stabil masa tu,” Amir cuma buat muka kerang busuk depan Faezal.

Faezal yang serius akhirnya tergelak dengan telatah Amir.

“Kau memang gadis yang menarik,” Faezal berkata-kata di dalam hati.

**sorry la yer..ke'BZ'ian melanda beberapa minggu ni..masa tuk berfikir pn da b'kurang sket..hehehe..neway SELAMAT HARI RAYA..maaf zahir & batin**

Tuesday 1 September 2009

Jangan Nakal ~part 8~

“Problem saya ialah En. Faezal.”

“Saya tak suka cara En. Faezal bekerja. Saya tak suka suasana kerja yang stress."

"En. Faezal bukannya tahu nak bermesra dengan staff bawahan. Kalau kami senyum En. Faezal cuma angguk."

"Saya dah rasa macam dekat kem tentera Jepun. Kalau kena angin ribut taufan En. Faezal tu datang, En. Faezal sembur je ikut suka hati En. Faezal.”

Amir sambung lagi lepas tarik nafas lagi sekali.

“En. Faezal cuba bayangkan bertapa malunya saya waktu En. Faezal tengking saya depan semua staf tempoh hari walaupun selepas tu memang dah nyata, terang tak payah nak disuluh-suluh lagi itu bukan kesalahan saya."

"Dan yang paling saya kesal, En. Faezal tak mintak maaf pun pada saya. Cuba En. Faezal fikir apa pandangan mereka pada saya. Secara tak langsung En. Faezal dah menyebabkan staf-staf lain pandang rendah pada saya.”

Faezal ternganga. Tak disangka Amir akan luahkan ketidakpuasan hatinya. Dan yang paling tak disangka…dialah masalah terbesar Amir sehingga menyebabkan jurutera muda itu nekad menghantar surat letak jawatan.

Beberapa minggu yang lalu…

Faezal kehilangan laporan yang seharusnya diserahkan kepada ketuanya. Seingat Faezal, laporan tersebut telah diberikan kepada Amir untuk penambahan data.

“Amir, mana report yang saya suruh awak tambah hari tu?” Faezal sergah Amir dan Shah yang sedang berbincang di salah sebuah mesin di bahagian mereka.

“Report untuk meeting hari ni. Kan saya beri pada awak untuk buat penambahan data. Dan saya suruh awak buat hard copy sekali untuk meeting.”

“Bila masa pulak En. Faezal suruh saya buat macam tu? En. Faezal ni biar betul..entah-entah yang En. Faezal suruh tu hantu tak?” Amir gelak-gelak.

“Amir! Saya serius! Kalau awak tak siapkan kerja yang saya suruh tu lagi..yang awak sibuk duduk menggatal dengan Shah ni kenapa? Awak jangan nak beri banyak alasan. Macamlah saya tak tahu yang awak tu memang banyak sangat alasan nak lepaskan diri."

"Saya nak report tu awak e-mel pada saya dalam masa setengah jam. Printed and binded reports mesti ada dalam meeting room before semua orang sampai. 20 copies. Faham!” dan Faezal berlalu begitu sahaja meninggalkan Amir yang kebingungan.

“Shah,” Amir panggil Shah dengan suara serak-serak macam nak menangis. Tapi Amir tahankan juga air matanya dari jatuh. Dia tidak mahu anak buahnya melihat dia lemah. Walaupun sedikit sebanyak maruahnya telah dijatuhkan di depan mereka.

“Dia kata aku menggatal dengan kau Shah. Aku tengah buat kerja dia cakap aku menggatal. Depan budak-budak ni pulak.”

“Cool Mira..cool. Kau kan kuat, tabah, gagah, perkasa.” Shah juga terkejut dengan kata-kata Faezal.

“Report apa yang dia suruh kau buat? Kau lupa ke? Kan kita ada meeting hari ni.”

“Aku tak tahu. Aku tak tahu apa-apa. Report kali ni dia yang nak buat sendiri. Dia cuma mintak aku data-data je.”

“Tak apalah, aku tolong kau Mira. Jom kita buat report tu,” Shah sudah bangun menuju ke ruang pejabat di dalam kilang tersebut. Amir menurut sahaja.

Di depan skrin komputer, Amir dan Shah pandang memandang.

“Shah, apa yang kita nak tambah? Rupa report tu pun aku tak tahu macam mana?”

Shah jungkit bahu. “Aku rasa memang singa bujang kau tu dah hilang ingatanlah.”

_ _ _


“Faezal, kak Miah dah siapkan laporan yang Faezal suruh akak fotostat tu. Akak dah letakkan dalam bilik mesyuarat,” kak Salamiah memberitahu Faezal yang nampak tak sabar-sabar menuju ke biliknya.

“Laporan? Laporan apa kak Miah?” Faezal jadi keliru.

“Saya beri laporan tu pada Amir untuk dia selesaikan. Kenapa ada pada kak Miah pulak?”

“Hish kamu ni. Banyak sangat berfikirlah tu. Memanglah kamu nak beri pada Amir, tapi hari tu Amir mana ada dekat office ni. Amir kan pergi kilang Honda dengan Shah. Faezal siapkan laporan ni sendiri. Lepas tu kan mintak tolong akak fotostat,” jelas kak Salamiah panjang lebar.

“Aah..lupalah saya kak. Kepala berserabut pulak. Terima kasih ya kak” Faezal dah garu-garu kepala tak gatal.

Tiba-tiba dia teringatkan seseorang. Jurutera yang baru disemburnya tadi. Amira Sofea yang nampak keras di luar tapi lemah juga dalamannya.

“Kak, akak tolong beritahu Amir, report tu akak dah sediakan. Dia tak payah buat apa-apa.”

_ _ _


Kring..kring….bunyi telefon di meja Shah menyedarkan mereka berdua dari memikirkan jalan penyelesaian terhadap masalah Amir.

“Hello..kak Miah, ada apa? Amir? Ada..kejap.” Shah hulurkan gagang telefon kepada Amir. “ Kak Miah nak cakap dengan kau.”

“Kak Miah, kenapa?” Amir bertanya malas. “Hah! Ok..baik kak.”

“Kak Miah nak apa?” Shah pula soal Amir.

“Shah, aku dah nak gila ni. Sebelum aku jadi gila betul-betul, kau kena tolong aku menggila petang ni.”

“Jagalah kau mamat singa bujang terlajak yang sewel. Aku pancitkan tayar motor kau!” Amir berdendam sungguh-sungguh.

_ _ _


Amir dan Shah sama-sama ke pejabat utama untuk menghadiri mesyuarat. Di dalam bilik menyuarat Faezal sudah sedia menanti. Dua kerusi di sebelahnya memang tersedia untuk Amir dan Shah.

“Shah, kau duduk tengah,” Amir bisik pada Shah.

Kebiasaannya, Amir akan duduk di tengah-tengah antara Faezal dan Shah. Ini bagi memudahkan Amir berbincang dengan ketuanya dan juga pembantunya iaitu Shah.

Shah turutkan sahaja permintaan Amir. Mereka berdua mengambil tempat masing-masing.

Faezal tak angkat kepala dari pembacaannya. Gayanya khusyuk semacam. Tapi yang sebenarnya, dia rasa bersalah dengan Amir.

Faezal tulis sesuatu di atas kertas kecil dan diserahkan pada Shah di sebelahnya.



Orang sebelah kau tu tengah berasap ke?



Shah balas ‘sms kertas’ Faezal.



Bukan takat b’asap. Dah berapi2.
Ko panggil jentera bomba satu Malaysia
pun blum tentu bley pdmkn api bdk ni…
hehehehe



Faezal reply “sms kertas’ Shah pulak



Aku serabut dowh..
X ingat korang pegi Honda ms tu
Aku gelabah tgk report x siap..
Tu yg ter’fire’ ‘awek’ ko tu..



Shah seronok pulak main sms kertas dengan Faezal. Amir dah jeling-jeling Shah…tapi Shah buat tak nampak je



Kalau dia menggila hari ni..
Ko kena terima jela..
Terlajak bawak kete ko leh masuk gear reverse..
Terlajak sembur minah ni..
Buruklah nasib kau..
Hahaha…



Amir tahu jejaka-jejaka idaman minah-minah kilang sebelah kilang mereka ni tengah mengumpat dirinya. Amir tak peduli. Dia terus tarik muka masam, kelat dan pahit. Apa yang difikirkannya sekarang, waktu mamat berdua ni pergi solat Jumaat, Amir akan karang warkah perletakan jawatan untuk diberikan direct kepada big boss yang dah pun sampai dalam bilik mesyuarat.