Saturday 22 August 2009

Istimewa Ramadhan ~ Lauk Cinta

“Ika, bangunlah…kau ni nak sahur ke tak ni?” Cumi goncang badan Ika yang dah terlelap di meja makan. Dah besar-besar pun boleh tidur waktu sahur.

Ika tenyeh-tenyeh matanya. Aroma tomyam yang dibeli di gerai Mek Shidah malam tadi menyegarkan matanya yang dah tertutup semula.

“Mana Chacha? Dia tak puasa ke esok?” Ika pusing kiri kanan atas bawah cari Natasha yang juga merupakan rakan serumah mereka.

“Itu lagi sorang, dah boleh jadi mak budak tapi perangai kalah anak sedara aku yang baru masuk darjah satu tu tau tak?” Cumi dah membebel.

Pintu bilik air diketuk dari luar. “Cha, kalau iya pun kau tu nak tidur, carilah tempat best sikit. Ni rumah setan gak yang kau suka. Setan dah kena kurung kau pulak nak ganti tempat dia.”

“Yelah…aku nak keluar la ni,” Cumi jawab dengan suara serak-serak basah.

Ketiga-tiga teman serumah itu kini telah bersiap sedia di meja makan. Juadah sahur mereka subuh itu, tomyam campur yang dimasak oleh Abang Mede, tukang masak di gerai Mek Shidah, telur dadar yang digoreng Cumi awal-awal tadi, dan daging masak merah baki lauk makan malam mereka.

“Cha baca doa. Cepat. Tak sempat pulak kita sahur nanti. Tadah tangan semua.” Cumi beri arahan.

Doa selesai dibaca. Mereka tiga memulakan suapan.

“Korang…lepas subuh nanti aku nak balik kampung. Kan cuti sekolah ni.”

“Ala Cumi….kalau kau balik kampung nanti siapa nak kejutkan aku bangun sahur? Nak masakkan aku nasi, gorengkan aku telur?” Chacha dah buat gaya tak berselera nak makan.

“Yelah Mi…nanti siapa nak masak berbuka? Aku dengan Chacha ni bukannya terror masak macam kau. Kau masak sedap. Aku teringin nak berbuka dengan ayam masak tomato kau hari ni,” Ika pulak buat ayat bodek.

“Jangan nak mengada-ngada. Macamlah tak pernah makan ayam masak tomato aku tu. Bukan dua hari lepas aku dah masak ke?”

“Kalau nak bangun sahur, nanti dari kampung aku call. Kalau korang tidur dalam bilik air ataupun terlelap kat bawah meja ni…tu aku tak tanggung.”

“Eh makcik-makcik berdua, takkan masak nasi pun tak reti. Kalau dah malas sangat, sebelum korang tidur tu pergi turun bawah. Abang Mede tu boleh je masakkan untuk korang berdua tapi dengan syarat,” Cumi buat ayat tergantung.

“Syarat apa?” Ika dah mula risau.

“Korang bayarlah. Takkan nak mintak makan free pulak.”

“Hahahahaha” Chacha ketawa. “Aku ingatkan dia nak no phone Ika tadi. Muka Ika dah cuak tadi tu.”

“Dah la korang ni. Cepat nanti terlepas waktu imsak.” Ika tukar topik. Dia tahu abang tukang masak di bawah tu memang minat padanya. Tapi hatinya belum terbuka lagi nak terima sesiapa.

* * *

Selesai solat Subuh, Cumi terus bersiap. Dia yang bertugas sebagai guru sekolah menengah akan berpuasa selama seminggu bersama keluarganya di kampung bersempena dengan cuti sekolah.

“Korang…aku gerak dulu ya. Mak aku dah telefon dah tanya bila nak gerak. Nanti aku balik dari kampung aku bawakan korang makanan best-best ya.”

Mereka bertiga besalaman. Sempat Cumi berpesan, “Nanti aku call kalau korang tak bangun sahur…aku suruh Abang Mede ketukkan pintu rumah ni.”

Ika tarik muka masam. Chacha dah tergelak-gelak nasib baik tak guling-guling atas karpet.

“Assalamualaikum. Sabtu minggu depan aku balik semula ya kawan-kawan.”

Chacha dan Ika dah ternganga. Mentang-mentanglah dia cikgu-cikgi. Cukup seminggu dia cuti puasa dekat kampung.

“Nasib kita la Cha. Dulu-dulu mak aku suruh belajar betul-betul, biar dapat jadi cikgu aku main-main. Sekarang dah jeles tengok si Cumi tu boleh cuti lama-lama. Nanti raya pun mesti dia cuti lama jugak tu.”

“Cha kita nak masak apa petang ni?”

Chacha lipat maut dari tumpuannya yang sedari tadi pada kaca televisyen. “Ika, baru pukul 7.12 pagi kau dah tanya nak masak apa? Memang lah kalah anak buah aku yang baru nak belajar puasa tu.”

* * *

Ringtone lagu 1 Malaysia berkumandang di telefon bimbit Ika. Patriotik sungguh anak dara yang seorang ini. Maklumlah hari ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke 52 dah semakin hampir.

“Ika! Bangunlah! Dah empat kali aku call baru kau nak angkat? Cha pun sama jugak. Macam mana korang ni nak kahwin macam ni? Bangunlah Ika!, Cumi di talian sebelah sana dah terjerit-jerit. Kalau bukan kerana kasihkan sabahat yang berdua ni. Memang tak ingin langsung dia membazirkan kredit semata-mata nak kejutkan orang bangun sahur.

“Ika! Kau dengar ke tak ni? Aku tak nak kejutkan korang lagilah macam ni. Buat sakit hati aku je call jauh-jauh pagi-pagi buta macam ni. Aku kejut Haris pun tak susah macam nak kejut korang berdua ni.”

Cumi dah merajuk. Terasa sia-sia dia berkorban kalau kedua-duanya masih elok meleleh air liur basi. Sungguhlah Cumi terasa mengejutkan teman lelakinya lebih mudah dari mengejutkan anak dara berdua dalam rumah mereka.

“Aku dah bangun dah ni. Dah duduk tegak dah. Pukul berapa ni Mi?”

Jam di tepi katil dilihat dengan mata kuyu. Buntang mata Ika melihat waktu yang tertera.

“Mi, dah 4.45. Kenapa kau kejut lambat sangat? Mana sempat nak masak ni,” Ika kalut.

Pintu bilik Chacha diketuk-ketuk bagai nak roboh.

“Korang tu yang tidur macam lepas telan dadah tak sedar diri. Agaknya kalau rumah kita tu runtuh pun korang tak sedar. Tau-tau dah keluar je roh tu dari jasad.” Cumi laser balik.

“Tak payah masak. Kejap lagi ada orang ketuk pintu hantarkan makanan. Bukak pintu tu jangan korang duduk diam macam batu pulak. Ok..aku nak sahur ni. Bye.”

Chacha yang terganggu tidurnya akibat ketukan yang bertalu-talu di pintu biliknya akhirnya memunculkan diri.

“Ika, nak makan apa ni? Dah tak sempat nak masak nasi ni.”

Tukk..tukk..pintu rumah diketuk. Terdengar suara seorang perempuan memberi salam.

“Sape tu Ka? Hantu dah kena ikat kan?” Chacha yang tadinya lalok segar tiba-tiba.

“Kau ni mulut tu…Jom kita tengok. Tadi Cumi pesan ada orang nak hantarkan makanan.”

Pintu rumah dibuka. Mek Shidah tersenyum melihat anak dara yang berdua itu. Mana tidaknya, sorang dengan rambut kusut-masai dan yang sorang lagi ada kesan air liur basi. Dua-dua bangun tak sempat basuh muka.

“Ni Mek hantar lauk dengan nasi untuk Ika dengan Cha.” bungkusan di tangan dihulur pada mereka berdua. Mek Shidah tak kecek kelate dengan mereka. Nanti tak faham pulak. Lagipun Mek Shidah sudah lama menetap di KL. Suaminya pula orang Pulau Pinang.

“Terima kasih Mek. Buat susah-susah je hantar sampai ke atas. Ni mesti kerja Cumi ni. Nanti sekejap ye Mek. Ika ambilkan duitnya.” Ika dah nak masuk ke dalam rumah tetapi ditahan oleh Mek Shidah.

“Tak payah. Nanti-nantilah kita kira. Pergi sahur cepat nanti tak sempat pulak. Esok subuh Mek hantarkan lagi. Cumi dah pesan dekat Mek..sementara dia cuti kelik kampung. Mek tolong hantarkan lauk sahur. Mek turun dulu deh.” Terkeluar jugak kecek kelate Mek Shidah. Tapi budak berdua tu faham. Kelik tu maksudnya balik.

“Ika..tiba-tiba aku rasa sayang sangat dengan Cumi.”

“Aku pun. Jom kita sahur tapi basuhlah muka kau tu dulu. Ada liur basi la.” Ika sengih.

Mereka berdua sedang menuang makanan yang dihantar ke dalam mangkuk. Chacha terpandangkan sekeping kad kecil di dalam beg plastic tersebut.

“Ika…ada kad untuk kaulah. Aku tahu….ni mesti Abang Mede yang bagi ni. Hahahahaha,” Chacha dah tergelak-gelak.

Ika rampas kad di tangan Chacha. “Cha cepatlah baca doa. Lagi setengah jam je ni.”

Doa dibaca. Kedua-duanya bersahur tanpa Cumi tetapi bertemankan tanda kasih Cumi melalui masakan Abang Mede yang sememangnya enak itu.

* * *

Ika melipat sejadah dan telekung yang dipakainya. Tenang jiwa setelah usai bersolat Subuh dan mengaji sebentar tadi. Kad kecil berwarna ungu di atas meja solek diambil lalu dibuka.


Ika,

Semoga dgn masakan abg tu..
Ika lebih bertenaga, sihat dan kuat..
Tuk berpuasa di hari yg kedua ini..
Esok abg masakkan lg ye?


Ikhlas,

Abg tukang msk =)

Ika tersenyum. Nampak bersungguh-sungguh benar abang tukang masak di bawah itu.

“Ini mesti kerja Cumi ni. Saja la tu nak buat pakatan rahsia dengan abang tukang masak member baik dia tu.”

Ika bangun dan mengetuk pintu bilik Chacha.

Chacha terjengul di muka pintu dengan bakul baju kotor.

“Cha…nanti kau bawak aku pergi Alamanda kejap boleh? Aku nak pergi MPH la.”

“Mimpi apa kau nak pergi MPH pulak ni? Kau tu bukannya minat baca buku,” Chacha pelik.

“Aku…hehehehehe,” Ika tersengih-sengih.

“Kau ni demam ke cik Ika?”

“Aku nak pergi beli kad la.”

Dan Chacha yang sememangnya mempunyai otak yang laju sahaja menangkap bahasa-bahasa kiasan dah tergelak-gelak.

“Yelah cik Ika. Nanti aku bawak kau. Tapi sekarang Alamanda belum bukak lagi. Baik kau tolong aku basuh baju-baju aku ni.”

“Cha..pakai mesin je pun. Bukannya kau tu basuh kain tepi sungai sampai aku nk kena tolong. Cha….thanks ya.”

“Demi cinta yang baru nak berputik aku rela Ka.”

* * *

Kad kecil berwarna merah jambu itu dibuka. Kini Mek Shidah dah menjadi posmen tak bergaji Mede dan Ika.

Abg,

Petang ni Cumi balik dah..
So..abg tak payah la nk masakkan lauk utk Ika lg
Terima kasih ya utk semua tu
Malu Ika bila fikirkan balik..
Apa-apa pun terima kasih byk2
Mesti lpas ni Ika rindu nak sahur dgn masakan abg

p/s : 012-3456789…ni no phone Ika

IKA

“Yes! Yes! Berjaya akhirnya,” Mede dah nak terlompat-lompat.

Mek Shidah pelik melihat telatah anak saudaranya yang happy tak terkata secara tiba-tiba. Kalau iya pun mengigau masa tidur tadi, takkan terbawa-bawa sampai sekarang. Mereka kini sedang menyiapkan barang-barang untuk di bawa ke kedai petang nanti.

Hari sabtu ramai juga yang berbuka di luar gara-gara sibuk membeli-belah untuk persiapan hari raya. Tetapi kebanyakan pelanggan Mek Shidah merupakan anak-anak dara dan anak-anak bujang yang menetap di apartment di hadapan medan selera tempat mereka berniaga.

“Mede, mu ni bakpo? Deme ko?”

“Takdop gapo Mek. Mede tubik meta Mek deh,” dan Mede keluar meninggalkan rumah ibu saudaranya itu.

* * *

“Ris, aku dah dapat no phone dia dah. Nampak gaya kena open table la aku belanja kau dengan Cumi bukak puasa macam ni.”

Haris yang sedang berbaring menonton televisyen tersenyum.

“Kitorang tak mahu la makan tomyam kau tu. Aku ni dah naik jemu dah. Paling-paling hina kitorang nak Pizza ke, Kenny Rogers ke…tekak ni nak jugak rasa menu-menu western. Asyik makan menu Siam kau je.”

“Yelah, aku belanja la nanti. Kau sebut je bila.”

“Eh Mede, dia dah tahu ke kau ni siapa dengan aku? Dengan Cumi?” Haris tanya teman serumah merangkap teman sepejabatnya itu.

Mede sebenarnya cuma membantu ibu saudaranya sahaja memandangkan tukang masak di kedai tersebut cuti 3 bulan untuk berpuasa dan beraya di Kelantan. Siang dia ke pejabat. Malam pula dia membantu di gerai makan.

Cuma seminggu di awal-awal Ramadhan ini sahaja dia membantu dari petang hingga ke subuh. Demi rancangannya bersama Haris dan Cumi, Mede sanggup bercuti.

“Belum tahu lagi. Kau agak-agak dia marah tak kalau tahu aku ni siapa? Risau jugak ni. Sia-sia pengorbanan aku macam ni.”

“Kalau dah jodoh tak kemana la weh. Yang penting kau dah usaha walaupun agak main kotor la jugak. Yang lebih kau serah je pada Allah.” Haris tenangkan sahabatnya itu.

“Jangan risau sangatlah. Silap-silap kau dulu yang naik pelamin dari aku ni. Cumi tu penat dah aku ajak kahwin. Alasan dia, kesian dekat Ika dan Chacha tu kalau dia tak ada.”

Mede senyum. “Sayang betul Cumi dekat budak berdua tu. Tak apa, aku akan pastikan lepas ni Cumi tak tolak lagi lamaran kau.”

* * *

Pejam celik, Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya. Hubungan Mede dan Ika semakin baik. Kata-kata cinta sudah mula dikirimkan di setiap sms yang dihantar. Kata-kata rindu juga sering terucap di kala kedua-duanya berbual di telefon.

Setiap hati juga selepas pulang dari solat terawih di masjid, Ika bertemankan Cumi ataupun Chacha akan mengunjungi gerai makan Mek Shidah. Ada sahaja lauk yang dipesan untuk dibuat sahur.

Mede pula, setiap kali selepas terawih di masjid, dia akan terus menaiki motosikalnya ke gerai ibu saudaranya untuk membantu memasak. Kereta kena sorok nanti kantoi. Dan pastinya, semua pesanan dari Ika, Mede yang memasak sendiri.

“Cumi, Cha….malam ni aku buka dengan Abang Mede ya.” Ika beritahu malu-malu. Malu tapi mahu, kena jugalah beritahu.

“Tak kerja ke Mede tu?” Chacha bertanya sambil membantu Cumi membakar biskut samperit. Mereka memang rajin membuat biskut dan kuih raya sendiri.

“Tak. Mek dah balik Kelantan dah. Gerai dah tutup. Kan lagi seminggu dah nak raya.”

“Yelah..Cha kita buka luarlah hari ni. Aku malas la nak masak. Kita suruh Haris belanja nak?” Cumi buat pakatan mengenakan teman lelakinya.

“Ika, walau apa pun terjadi. Aku nak kau tahu..aku sayang kau. Itu je,” tiba-tiba Cumi bersuara. Ika pelik. Chacha buat-buat muka pelik walaupun hakikatnya dia dah masuk sekali pakatan Haris-Cumi-Mede.

* * *

“Ika…abang nak cakap sikit dengan Ika.”

Mede mulakan perbualan yang agak-agak serius di pendengaran Ika selepas sahaja mereka selesai menikmati juadah mereka. Candle light dinner lepas maghrib. Jantung Ika dah berdegup pantas. Mede nak ajak kahwin ke?

“Ika terima abang seadanya kan? Walau siapa pun abang ni?”

“Kenapa abang tanya macam tu? Abang tak yakin dengan Ika ke?” Ika soal balik.

“Bukan macam tu..abang Cuma nak Ika terima abang seikhlas hati. Dan….” ayat tergantung.

“Dan apa pulak ni? Abang ni kenapa? Ika tahu…abang ada tipu Ika kan? Abang dah ada anak isteri ke bang?” Ika dah mula nak menangis.

“Bukan. Mana pulak abang ada anak isteri. Salam tok kadi pun belum pernah lagi. Kalau nak jumpa tok kadi pun, abang nak jumpa dengan Ika je.” Mede usik Ika.

“Sebenarnya, abang ni bukannya tukang masak sepenuh masa. Abang ni sebenarnya kawan Haris. Satu rumah. Satu office.” Tersekat-sekat Mede nak buat pengakuan.

What? Kawan Haris? Habis yang abang jadi tukang masak tu apa? Lakonan semata-mata. Nak uji Ika ni siapa? Jenis mata duitan? Jenis terlalu pandang pangkat dan kelulusan?” Ika tiba-tiba mengamuk. Mana tak mengamuk kalau kena kelentong.

“Bukan macam tu. Abang tak ada niat macam tu pun Ika.”

“Abang..kalau abang betul-betul ikhlas dengan Ika. Kenapa abang tak beritahu Ika siapa abang sebenarnya. Ika malu dengan Cumi, dengan Haris. Ika sedar Ika ni siapa nak memandang pendidikan, jawatan seseorang. Ika pun bukan hebat sangat. Ika Cuma ada SPM. Ika Cuma penjawat awam biasa je.”

“Sudah la tu abang. Hantar Ika balik.”

Mede kecewa. Semuanya telah musnah kini.

* * *

“Sayang, bangunlah. Kita sahur. Cepatlah sayang,” Mede mengejutkan isterinya. Ditarik-tarik hidung isterinya.

“Sakitlah bang. Sayang bangunlah ni. Jangan la tarik hidung ni. Sakit tau.”

“Abang masak apa?” si isteri dah mula membantu suami di dapur.

“Mestila lauk cinta kita.” Mede senyum pada Ika di sebelah. Akhirnya jodoh itu memang milik mereka berdua.

“Terima kasih abang, sebab masakkan lauk-lauk ni untuk Ika.”

“Tapi sayang, nanti berbuka abang nak makan masakan sayang pulak tau. Takkan nak makan lauk Siam ni pagi petang.”

Doa dibaca. Kedua-duanya kini menikmati sahur mereka dengan lauk cinta Ika dan Mede. Itulah masakan mula-mula yang dihantar Mek Shidah sebagai makanan sahur Ika dan Chacha setahun yang lalu. Sup daging, telur bungkus dan sayur campur.

“Sayang, abang nak tanya sikit ni. Kenapa sayang terima jugak lamaran abang? Yelah..abang tengok sayang bukan main marah lagi waktu abang berterus terang masa tu?” Mede dah lama nak tanya isterinya tetapi dilupakan.

“Nak tahu ke kenapa? Sebab pakatan rahsia abang tu Ika dah tau sebenarnya. Adalah satu hari tu, Ika duk belek-belek gambar Cumi dalam album dia. Ika jumpa gambar abang dengan Haris waktu konvo. Lepas tu…terus teringat. Patutla macam pernah tengok je muka tak hensem abang tu.”

“Haha..kiranya Ika pun berlakon jugak la ni. Tak apalah sayang yang penting sayang dah jadi isteri abang sekarang dan hari-hari abang boleh masakkan untuk sayang”.

“Terima kasih bang.” Ika senyum pada suaminya.

“Apalah agaknya Chacha makan sekarang ni? Cumi pun dah kahwin. Kesian Chacha.” Ika tiba-tiba teringat Chacha.

“Jangan risaulah sayang, Abang Irfan nak pinjam teknik mengurat abang. Tapi kali ni Jiha kena jadi delivery girl.”

Ika tergelak. Abang Irfan anak Mek Shidah. Juga cekap di dapur. Tak sangka rupa-rupanya abang sepupunya itu menaruh hati pada Chacha.

“Lauk apalah yang Abang Irfan nak masak eh? Lauk cinta apa la agaknya?”

Dan mereka berdua tergelak bersama-sama.

2 comments:

  1. pandai gak cik mawar buat kisah cintan-cintun ni..hehe..trskan usaha ye =)

    ReplyDelete